Dua kali pertemuan muhibbah diatur bersama Tuanguru Haji Abdul Hadi Awang. Semuanya bertempat di rumah beliau. Walaupun sederhana besar rumah itu, namun cukup bagi memuatkan kami sekitar 20 orang. Semuanya pimpinan jemaah dan ahli yang faham disemua peringkat. Pertemuan muhibbah diatur kerana ingin mengetahui sendiri dari buah bicara TGHA akan beberapa persoalan sejak kebelakangan ini. Kami mencari jawapan dari pelbagai sumber, tapi tidak sah jika ia tidak dikeluarkan dari mulut yang mulia TGHA sendiri. Alhamdulillah pertemuan berjalan lancar. TGHA menghuraikan dengan tenang, secara bertertib dan dikemukakan hujah kemas segala kekusutan yang kami ajukan. Hebat! Kami termotivasi dengan taujihat sebegitu. Tidak puas dan berazam jika boleh pertemuan sedemikian diadakan sentiasa. Antara soalan yang tidak pernah ku lupa adalah berkaitan terdapatnya golongan 'parasit' yang mula memasuki jemaah dan menyebarkan fikrah songsang. Apakah nasihat Tuanguru?
PAS adalah sebuah gerakan Islam yang terawal di Malaysia. Lahir dari rusuk Umno yang pada ketika itu hanya memperjuangkan bangsa (nasionalisme) dan mengetepikan agama. Gerakan ini telah banyak mengharung badai trubulasi. Ada antara ahlinya mati dibunuh seperti Samad Gol dan Ibrahim Libya. Tidak kurang juga antara ahlinya dipenjara tanpa bicara ISA. Namun itu adalah sebahagian kecil dari ranjau perjuangan. Rasulullah dan Nabi-nabi terdahulu lagi getir tribulasinya. Ada yang syahid dibelah gergaji dan hanya disokong oleh beberapa pengikut sahaja.
'Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).' Maksud surah Al Baqarah: 214.
Beberapa pimpinan dari jemaah Islam di tanah air bertemu dengan saya selepas berlakunya peristiwa pemecatan Anwar dari Umno. Mereka menyatakan sokongan pada Pas dan sama-sama akan membantu menumbangkan Umno. Sebagai gerakan Islam yang ulung dan 'Abang sulong' kita menerima mereka. Matlamatnya adalah Islam berdaulat dan disanjung. Sebagai abang sulong kita tidak patut mendengus, memerli dan mengejek kisah-kisah lalu. Kerana akan membekaskan rasa tidak selesa pada adik-adik yang baru nak berjinak dalam dunia politik. Syarat utamanya adalah mematuhi segala dasar gerakan kita dan mematuhi adat-adat dalam jemaah. Ingatlah bahawa Islam tidak akan padam.
Pemimpin boleh datang dan pergi, namun Allah akan menjaga gerakan dakwah syiasah ini. Cahaya Islam tidak akan malap kerana Allah akan menjaganya.
"Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)." Maksud surah At Taubah: 32
Ingatlah Islam tetap akan menang, mungkin bukan dizaman saya hidup tapi dizaman anak cucu kita nanti. Yang penting kerja dakwah perlu diteruskan walau kita tidak menang ditampuk kuasa. Sebarkan Islam ke seluruh pelosok agar ini menjadi bukti luhur kita di depan Rabbul Jalil. Tanpa disedari kesemua kami dibawah paras sedar menyeka aliran air mata dipipi. Jiwa kami berbunga. Naluri kami segar dan benak kami teruja untuk terus mempertahankan kepimpinan seorang tokoh kepimpinan seentero dunia ini.
Tutur katanya amat tersusun, tegas dan cermat. Tidak ada bait-bait yang menghina, sinis, memerli malah 'fair' kepada semua pihak. Melihat kepada mutakhir ini, seolah-olah ada usaha mendokotomi semula dua golongan ulama dan professional. Mungkin ini adalah coret-coret muktamar yang tidak enak kami dengari. Janganlah kami diulit dengan berita sebegini. Kami bukannya sebaris dengan ilmuan sehingga boleh digelar ulama. Kami hanyalah matarantai yang sedaya mungkin berada di satu penjuru untuk memusnahkan jahiliyyah moden di bumi Allah ini. Kami takut disingkirkan dari arus perjuangan dengan label-label tertentu dalam jemaah. Seolah-olah kehadiran professional seperti kami hanya melukut ditepi gantang. Adanya kami tidak menambah seri. Tiada kami pun tidak menjejaskan prestasi haraki. Atau mungkin kami ini seperti batu bata cantik. Tidak boleh disusun bersama batu bata lain kerana cantik dan sedikit kelainan dalam membina sebuah rumah? Akhirnya diletak diturus pagar bagi menambah seri sebuah banglo indah...biarlah. asal setidak-tidaknya kami disatukan dalam membina empayar gerakan ini.
Alangkah baiknya seandainya golongan yang dilabelkan parasit, ular daun atau seumpamanya datang bertandang ke rumah Tuanguru. Berdiskusi dan selami isi hati demi survival jemaah. Bukannya mengambil langkah menyerang melalui media sosial yang tidak berkesudahan. Manis akan tetap dirasai walaupun awalnya pahit dengan pertemuan mahabbah ini. Itulah yang ku rasai.
**Coretan sore setelah melihat sekeliling alam maya dan perbahasannya. Mungkin memerlukan siraman air taujihat secara live dari alim ulama...
**Pimpinlah daku yang tohor dalam ilmu gerakan syiasi ini....sesungguhnya pewaris para Nabi wajib memimpin.
0 comments:
Post a Comment