Perhimpunan Agung Umno 2011 (PAU) yang sedang berlangsung sekarang di PWTC adalah medan bagi Umno untuk membelasah Pakatan Rakyat. Mempolitikkan isu HIV adalah satu sikap yang amat tidak bertanggungjawab sebagaimana yang ditunjukkan oleh para perwakilan PAU 2011. Dengan bermodalkan fakta HIV tertinggi di negeri-negeri Pakatan Rakyat, para perwakilan PAU 2011 cuba mencalar imej bersih kepimpinan negeri Pakatan Rakyat. UMNO sudah kekeringan isu untuk dihidangkan kepada rakyat menjelang ketenatan imej rasuah pemimpin mereka. Sekaligus sikap seperti inilah yang akan mengundang kemusnahan kepada rakyat Malaysia. Malah, inilah wajah sebenar para pemimpin UMNO/BN.
Human Immunodeficiency Virus (HIV) yang akan membawa penyakit Autoimmune Deficiency Syndrome (AIDS) merupakan masalah global. Ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia. Semakin hari semakin meningkat. Usaha yang berterusan oleh semua pihak perlu dilakukan dan tentunya kos yang besar perlu dilaburkan demi melihat Malaysia aman dan sejahtera dari HIV/AIDS.
Isu peningkatan kes HIV di Kelantan tidak perlu dijadikan jenaka. Bukan di Kelantan bilangan yang tertinggi penghidap jangkitan HIV tetapi Selangor (yang diperintah oleh UMNO/BN sehingga penggal lalu) dan Johor (negeri yang diperintah oleh UMNO/BN sejak merdeka). Jumlah peningkatan HIV dari sudut statistik itu penting sebagaimana yang dilaporkan oleh Majlis AIDS Malaysia (MAM) untuk menganggarkan jangkitan dalam populasi masyarakat, namun sebagai pemimpin yang prihatin kita perlu melihat jumlah sebenar mereka yang dijangkiti kerana setiap mereka adalah rakyat Malaysia dan setiap mereka memerlukan kos untuk dirawat yang menggunakan wang seluruh rakyat Malaysia.
Jika menyalahkan Kelantan sebagai sumber HIV sebagaimana yang dijenakakan, apakah di sana tiada peranan Kerajaan Persekutuan untuk menanganinya? Mengikut statistik, 75% jangkitan HIV adalah dari pengambilan suntikan dadah menggunakan perkongsian jarum, manakala 15% adalah dari seks bebas. Tanggungjawab siapakah untuk mencegahnya? Kalau pemimpin UMNO/BN begitu rakus untuk mengatakan bahawa kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat tidak melaksanakan tanggungjawabnya, nah bukankah semua badan pencegahan untuk 75% kes HIV itu adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan? Polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADK), Hospital dan Jabatan Kesihatan, Kementerian Penerangan dan Kementerian Pendidikan yang kesemuanya itu di bawah Kerajaan Persekutuan. Persoalannya, apakah UMNO/BN mahu menyalahkan seluruh jentera kerajaan persekutuan itu atas peratusan kes HIV yang mereka sangka adalah akibat dari kelemahan kerajaan negeri?
Cukup mudah untuk menuding jari kepada pihak yang mereka benci. Apatah lagi apabila ianya boleh meraih keuntungan politik dan dapat mengalihkan isu rasuah yang melibatkan para pemimpin tertinggi mereka, sehingga dalam isu yang kritikal dan membabitkan nyawa rakyat sekalipun, UMNO/BN sanggup menjadikan isu politik murahan mereka. UMNO/BN kena sedar, pencegahan yang paling ampuh di antara undang-undang yang dicipta manusia ialah undang-undang Allah iaitu Undang-Undang Islam. Kelantan telah sedaya upaya meluluskan undang-undang Kanun Jenayah Syariah pada tahun 1993, tetapi UMNO/BN telah menghalangnya melalui satu surat amaran Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu. UMNO/BN juga perlu sedar bahawa Hukum Islam bukan sahaja wajib dilaksanakan di Kelantan, tapi di seluruh Malaysia. Jika sistem dan Hukum Islam dilaksanakan, pastinya kita melihat menurunnya penyakit yang melibatkan kesalahan-kesalahan hudud dan takzir itu yang menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan kes HIV bukan sahaja di Kelantan, tetapi di seluruh Malaysia. Rakyat akan sentiasa ingat bahawa UMNO/BN-lah yang menyumbang kepada gagalnya hukum Allah dilaksanakan di bumi Malaysia.
Bagi pihak Dewan Pemuda PAS, usaha pencegahan yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz sepatutnya dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain kerana Kelantan adalah negeri yang pantas melaksanakan usaha pencegahan dan pengawalan penularan kes HIV. Antaranya, Kelantan adalah negeri pertama yang melaksanakan program Pengurangan Kemudaratan (Harm Reduction) di bawah Kementerian Kesihatan, Kelantan antara negeri yang terawal mewajibkan saringan HIV Pra-perkahwinan (premarital HIV screening) bagi pasangan yang akan mendirikan rumahtangga. Kelantan memperuntukkan sebahagian dana kerajaan negeri kepada Pertubuhan Masyarakat Prihatin sebuah badan NGO yang sangat aktif menangani mangsa HIV, memberikan latihan kepada para imam di seluruh negeri Kelantan dan banyak lagi. Hanyasanya kepantasan penyakit itu merebak amat sukar dibendung menyebabkan kes ini masih tinggi di Kelantan.
Sudah tiba masanya rakyat menolak kerajaan UMNO/BN yang ketandusan idea ini.
0 comments:
Post a Comment