Tuesday, 27 December 2011

2012: Fajar untuk Negara Berkebajikan, insyaAllah

http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/analysis-a-opinion/7256-2012-fajar-untuk-negara-berkebajikan

http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/2012-fajar-untuk-negara-berkebajikan-mohd-syahir-sulaiman/

Syahir

2012: Fajar untuk Negara Berkebajikan
   

"Yang benar tidak terikat dengan waktu" – Hamka

Tanpa sedar, masa begitu pantas berlalu. Segala hiruk-pikuk 2011 yang ditinggalkan kekal menjadi batas tauladan baik dan buruk dalam kelangsungan rentak hidup yang kian pantas.

Ketidaktentuan 2011

Tirai 2011 yang bakal berlabuh menyaksikan iklim ekonomi global ibarat turun dan naik permainan 'roller coaster' yang mengerikan.  Ketidaktentuan (volatility) yang dipandu elemen ketakutan (fear) dan tamak (greed) menjerumuskan kuasa besar Amerika dan Eropah ke lembah kemelesetan dan kemelut hutang yang kian menjerut.

Iklim politik global pula tidak kurang mendebarkan, khususnya di Timur Tengah yang menyaksikan kebangkitan rakyat dan generasi muda berjaya menjatuhkan rejim kuku besi yang mengongkong kebebasan dan hak rakyat, di samping kebangkitan golongan buruh di Amerika dan Eropah yang tertindas dek kezaliman kapitalis dan sistem ekonomi yang tidak seimbang.

Lanskap ekonomi dan politik di Malaysia juga dilatari warna-warni yang rencam. Ekonomi 2011 dicatat berkembang pada tahap sederhana dan turut menyaksikan turun dan naik 'roller coaster' indeks KLCI yang mendebarkan bermula di paras 1,582 mata pada 2 Januari, mencecah paras tertinggi di 1,594 mata pada 8 Julai dan menjunam ke paras terendah di 1,331 mata pada 26 September.

Ringgit yang bermula kukuh apabila buat pertama kali mencecah paras 3.00 berbanding USD sejak diapungkan mula hilang rentak di penghujung tahun dan kembali menyusut ke paras 3.19 pada 15 Disember.

Harapan dan debaran 2012

Tirai 2012 yang bakal menyinsing menjanjikan 1001 harapan dan debaran untuk Malaysia. Kedudukan ekonomi domestik dijangka tidak seindah khabar.

Dayatahan ekonomi negara yang kadar hutangnya tinggi dilihat goyah dalam menempuh tempias kemelut hutang di Eropah dan kemelesetan permintaan di Amerika.

Pertumbuhan ekonomi 2012 diunjur pada kadar 4% - 5% manakala indeks inflasi dijangka meningkat pada kadar 4% menatijahkan kenaikan berterusan harga barang yang mencengkam
survival kehidupan rakyat pertengahan dan bawahan, baik di kota mahupun di luar bandar.

Kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur merupakan realiti yang tidak dapat dinafikan. Pendapatan isi rumah RM3,000 sekadar mencukupi untuk kehidupan asasi (basic living), kadar RM6,000 memberi sedikit keselesaan (decent living), manakala pendapatan lebih RM10,000 mampu memberi kemewahan (comfort living).  Namun, 40% isi rumah di Malaysia berpendapatan bawah RM2,500 sebagaimana dilapor oleh UNDP's Millennium Development Goals 2010 Report of Malaysia.

Debaran pastinya tertumpu pada tarikh PRU13 yang bakal diumum oleh PM Najib Tun Razak. Tidak sukar meramalkan PRU13 bakal menempa status pilihanraya paling sengit dalam sejarah politik negara ini selepas Tsunami 2008 yang menafikan 2/3 majoriti BN di parlimen.

Pengundi muda pemangkin kebangkitan

Robert Frost (1874-1963) ada mengungkapkan saranan untuk menempa perubahan di dalam syairnya yang popular, The Road Not Taken, "Dua denai yang tersimpang, dan aku.. aku memilih denai yang jarang ditempuhi, dan ia telah mengubah segalanya".

Tahun 2012 bakal menjadi medan penentu kepada golongan muda melakar peta masa hadapan baru di Malaysia.

Melihat kepada peningkatan pengundi baru dan pengundi muda yang dianggarkan sekitar 50%
daripada jumlah pengundi berdaftar kali ini, keputusan penentu PRU13 jelas terletak di tangan 2 daripada 2 pengundi muda di saluran 3 dan 4 peti undi yang pastinya teruja untuk memilih pemimpin yang mampu membawa sinar baru di Malaysia.

Generasi muda dan golongan mahasiswa negara dilihat kian berani menzahirkan suara dan pendapat dek tempias percikan peluh teman-teman di Timur Tengah yang bangkit memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat.

Akses kepada internet dan laman sosial serta kepantasan jaringan maklumat di Facebook, Youtube, Twitter, Blackberry dan Whatsapp berjaya memecah tembok pemikiran dan membudayakan suasana percambahan idea secara terbuka.

Persoalannya, apakah bentuk kehidupan berkebajikan yang diimpikan generasi muda sekarang? Apakah gaya hidup anak muda yang suka berhibur dan berhubung akan terencat apabila bertukar sang penguasa di tampuk pemerintahan? Apakah aspirasi generasi pasca-merdeka dan gen-Y? Perlu diyakini, dasar dan program pembangunan berkebajikan pastinya menguntungkan generasi muda negara serta selari dengan aspirasi dan jiwa anak muda.

Negara berkebajikan secara prinsipnya merupakan sebuah kerajaan beramanah yang berpaksikan prinsip adil dan ehsan di dalam seluruh sistem pemerintahan yang membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berlumba-lumba melakukan kebaikan dan bekerjasama ke arah kejayaan.

Penumpuan akan diberi kepada agenda pembangunan seimbang di antara aspek fizikal dan spiritual di kalangan generasi muda.  Tawaran dalam bentuk pendidikan berkualiti (bantuan pendidikan, mansuh PTPTN, mansuh AUKU, pengupayaan autonomi universiti, kebebasan mahasiswa), ekonomi saksama (pengukuhan perbankan islam, skim pembiayaan perniagaan, pemansuhan monopoli, penstrukturan subsidi, pemerkasaan FELDA), perkhidmatan kesihatan yang cekap (akses menyeluruh, kos minima), pembinaan institusi keluarga (rumah mampu milik, elaun khas suri rumah, hiburan mendidik), pengupayaan sektor pekerja (pembelajaran sepanjang hayat, elaun sara hidup) dan peningkatan kualiti pengangkutan awam bakal menatijahkan kehidupan yang lebih sejahtera.

Dana-dana pembangunan belia yang bernilai ratusan juta setiap tahun akan diurus secara saksama dan diagih mengikut merit tanpa mengira jalur politik atau kaum. Nyanyian dan konsert tiada salahnya jika tidak membinasakan diri dan keluarga. Gaya hidup anak muda yang secara fitrahnya suka berhibur dan berhubung akan disuburkan dengan nilai-nilai pembinaan jatidiri demi kebaikan masyarakat seluruhnya.

Memetik ungkapan Pak Hamka, "Adil ialah menimbang yang sama berat, menyalahkan yang salah dan membenarkan yang benar, mengembalikan hak yang empunya dan tidak berlaku zalim di atasnya".

Islam itu sifatnya adil dan sempurna, amanah adalah kuncinya.

"Dan (ada lagi) kurnia yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang hampir waktunya. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman." (As-Saff: 13)

2012, fajar untuk Negara Berkebajikan, insyaAllah.

--------------------------------------------
Mohd Syahir Sulaiman adalah Pengarah Institut Polisi Studi, Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau gemar melihat benih yang ditanam bertunas dan mekar.

0 comments:

Post a Comment