Sekarang  kita di musim tengkujuh. Hujan dan ribut saling mendahului untuk  melanda bumi . Ada yang mengeluh dan ada juga yang bersyukur . Ada yang  ditimpa musibah lalu kampung dan rumahnya ditenggelami air , namun  mereka sabar menghadapinya . Tidak kurang juga yang menyumpah seranah  dan memaki hamun lalu menyalahkan pelbagai pihak kerana kegagalan  membina parit , longkang dan benteng yang boleh menghalang banjir.
Musim begini , banyak tugas harian tergendala.  Pekebun getah pastinya bercuti panjang demikian juga nelayan di laut ,  pastinya mereka jua terpaksa menggantung pukat buat tempoh yang agak  panjang .
Pendek kata , banyak urusan terpaksa ditunda ke satu  tempoh yang lain . Namun di sana ada satu urusan dan tugas kita sebagai  manusia yang tidak boleh ditunda atau ditangguhkan , biarpun musim  tengkujuh ini kian buruk keadaannya.
TUGAS MANUSIA
Tugas yang  saya maksudkan tersebut ialah tugas ibadah atau pengabdian diri kepada  Allah swt. Ianya tidak terhenti setakat sembahyang dan membaca al quran  semata – mata , tetapi merangkumi semua tanggungjawab yang mendekatkan diri kita selaku makhluk ( manusia ) kepada Khaliq ( Allah swt. )
Antara tugas utama kita ialah meneruskan perjuangan  untuk mendaulatkan syariat Allah swt. Ianya tidak mungkin boleh  ditangguhkan biarpun seketika. Apalah sangat hujan air sehingga kita  menghentikan tugas – tugas perjuangan sedang sebahagian dari saudara  seaqidah kita , sedang bergelut dan bertempur di bawah hujan peluru demi  mendaulatkan Islam.
Malah , suatu yang menarik , hujan yang turun ini adalah antara bukti keagungan Ilahi , tuhan yang selayaknya disembah oleh kita manusia.
  يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
الَّذِي  جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنزَلَ مِنَ  السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَّكُمْ فَلَا  تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَندَادًا وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Wahai sekalian manusia! Abdikanlah dirimu kepada  Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu  daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. Dia lah  yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta  segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan  diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu  berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka  janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu  semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).
Al-Baqarah : 21 – 22
HIDUP DAN MATI ADALAH UJIAN ALLAH
Air  adalah sumber kehidupan . Tanpa air , tiada satu pun makhluk bernyawa  mampu hidup di muka bumi ini. Kehidupan menjadi sempurna dengan air yang  diturunkan Ilahi.
Namun kehidupan itu pula bukanlah segalanya ,  sebaliknya ia adalah satu ujian pula dari Ilahi untuk melihat siapakah  yang mengabdikan diri kepada Allah swt. tuhan yang menghidupkan mereka  dengan air sebagai alat bantu kehidupan.
Firman Allah swt :
تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
  الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
Maha  Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai  pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas  tiap-tiap sesuatu; Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup  (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara  kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu),  lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
Surah al-Mulk : 1 – 2
PELBAGAI UJIAN DARIPADA ALLAH
Kehidupan  adalah sebuah perjuangan . Sebagaimana pentas perjuangan dihiasi  pelbagai ujian Ilahi , selayaknya kehidupan ini jua dihiasi dengan  pelbagai ujian dari Allah , menepati system nilai guna menyaring  siapakah yang sabar dalah meredah pelbagai ujian tersebut.
وَلَنَبْلُوَنَّكُم  بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ  وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit  perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan  (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil  tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
Surah al-Baqarah : 155
Ujian Senang dan Susah
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji  kamu dengan kesusahan ( kejahatan ) dan kesenangan ( kebaikan ) sebagai  cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
 Surah al-Anbiya’ : 35
ALLAH PEMBERI RAHMAT
Sungguhpun  ujian Ilahi dalam bentuk hujan dan banjir ini amat getir untuk dihadapi  , namun ia adalah rahmat dari Allah Jalla wa A’la.
Sebagai insan beriman , kita sangat yakin ,  segalanya tersimpan dalam ilmu Allah swt. Bahawa apa yang berlaku tidak  sia – sia melainkan terlalu banyak iktibar yang perlu dilihat oleh kita .
Firman Allah swt :
قُلْ  مَن ذَا الَّذِي يَعْصِمُكُم مِّنَ اللَّهِ إِنْ أَرَادَ بِكُمْ سُوءًا  أَوْ أَرَادَ بِكُمْ رَحْمَةً وَلَا يَجِدُونَ لَهُم مِّن دُونِ اللَّهِ  وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا
Katakanlah: "Siapakah yang dapat melindungi kamu  dari kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu,  atau (siapakah yang dapat menahan kemurahan Allah) jika Ia hendak  memberikan rahmat kepada kamu? " Dan (ingatkanlah) mereka (yang munafik)  itu: bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapapun - yang lain dari Allah  - yang akan menjadi pelindung atau penolong mereka.
Surah Al-Ahzab : 17
AIR HUJAN ADALAH RAHMAT DAN NIQMAT
Diriwayatkan  daripada Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Biasanya apabila hari  berangin atau mendung, wajah Rasulullah s.a.w kelihatan gelisah. Bila  hujan mulai turun,  wajah baginda menjadi berseri dan hilanglah kegelisahan baginda. Aisyah  bertanyakan hal itu kepada baginda. Baginda menjawab: Aku bimbang angin  atau mendung itu menjadi azab untuk menyiksa umatku. Jika baginda  melihat hujan, baginda akan berkata: Itu adalah rahmat
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya:  Sesungguhnya seorang lelaki masuk ke masjid pada hari Jumaat dari satu  pintu yang menuju ke arah Darul Qadha (rumah Umar bin al-Khattab).
Pada waktu itu Rasulullah s.a.w sedang berdiri sambil  berkhutbah. Orang itu menghadap Rasulullah s.a.w sambil berdiri,  kemudian berkata: Wahai Rasulullah! Segala harta benda telah musnah dan  jalan-jalan menjadi terputus (iaitu mereka tidak lagi dapat menggunakan  unta kerana bimbang unta mereka mati malah boleh mengurangkan binatang  ternakan mereka disebabkan cuaca pada ketika itu), oleh itu berdoalah  kepada Allah agar Dia berkenan menurunkan hujan kepada kita.
Rasulullah s.a.w lalu mengangkat kedua tangan dan berdoa
اللَّهُمَّ أَغِثْنَا اللَّهُمَّ أَغِثْنَا اللَّهُمَّ أَغِثْنَا
yang bermaksud: Ya Allah! turunkanlah hujan kepada kami. Ya Allah!  turunkanlah hujan kepada kami. Ya Allah! turunkanlah hujan kepada kami.
Kata  Anas: Tidak, demi Allah! Kami tidak lihatpun di langit ada mega atau  gumpalan awan. Di antara kami dengan gunung tidak ada satu pun rumah  atau perkampungan (yang menghalangi pandangan kami untuk melihat  tanda-tanda akan turunnya hujan).
Tiba-tiba muncul mega bagaikan perisai di sebalik  gunung. Ketika berada di tengah-tengah langit, mega itu mulai melebar  kemudian menurunkan hujan. Tidak, demi Allah! Kami tidak melihat  matahari sedikit pun.
Pada hari Jumaat berikutnya masuk pula seorang  lelaki dari pintu yang sama, ketika itu Rasulullah s.a.w sedang berdiri  sambil berkhutbah. Orang itu menghadap baginda sambil berdiri, lalu  berkata: Wahai Rasulullah! Banyak harta benda yang binasa dan  jalan-jalan telah terputus. (Kali ini kerana terlampau banyak hujan).  Oleh itu berdoalah kepada Allah agar Dia berkenan menahan hujan dari  kami.
Rasulullah s.a.w pun mengangkat kedua tangan lantas baginda berdoa:
اللَّهُمَّ حَوْلَنَا وَلا عَلَيْنَا اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
yang bermaksud: Wahai Tuhanku! Turunkanlah hujan di  sekitar kami dan janganlah musnahkan kami. Ya Allah! Engkau turunkanlah  ia di atas gunung-gunung dan bukit-bukau, di lembah-lembah dan tempat  tumbuhnya pokok-pokok.
Hujan pun reda dan kami dapat keluar, berjalan di bawah sinar matahari *
Diriwayatkan  daripada Anas bin Malik r.a katanya: Abu Jahal berdoa: Wahai tuhanku  sekiranya al-Quran ini betul datang dari sisiMu, maka turunkanlah hujan batu dari langit atau timpakan kepada kami siksaan yang pedih.
Lalu turunlah ayat
(  وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيْهِمْ وَمَا كَانَ  اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ وَمَا لَهُمْ أَلا  يُعَذِّبَهُمُ اللَّهُ وَهُمْ يَصُدُّونَ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ )
Yang bermaksud: Dan Allah tidak sekali-kali  akan menyiksa mereka, sedangkan ‘engkau wahai Muhammad ada di antara  mereka dan mengapa mereka tidak patut disiksakan oleh Allah sedangkan  mereka menyekat orang2 Islam daripada Masjidil Haram sehingga ke akhir  ayat *
BANJIR MENJADI BALA UMAT TERDAHULU
Antara  rahmat Ilahi melalui air hujan dan banjir yang melanda ini ialah  sebagaimana yang pernah Allah timpakan kepada ummat terdahulu sebagai  balasan terhadap keangkuhan dan kesombongan mereka dihadapan Allah swt.
Ianya menjadi rahmat buat insan yang taat dan bala buat mereka yang derhaka .
لَقَدْ  كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ  كُلُوا مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ  غَفُورٌ
فَأَعْرَضُوا  فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنَاهُم  بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَيْ أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَيْءٍ  مِّن سِدْرٍ قَلِيلٍ
Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri  Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di  tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur),  yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka).  (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan  kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang  baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha  Pengampun!. Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada  mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun  mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan  pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah,  serta sedikit pohon-pohon bidara.
Surah Saba’ : 15 – 16
مِّمَّا خَطِيئَاتِهِمْ أُغْرِقُوا فَأُدْخِلُوا نَارًا فَلَمْ يَجِدُوا لَهُم مِّن دُونِ اللَّهِ أَنصَارًا
Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka  ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian (pada hari akhirat)  dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan beroleh sebarang  penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan pertolongan).
Surah Nuh . Ayat 25
وَقِيلَ  يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءَكِ وَيَا سَمَاءُ أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاءُ  وَقُضِيَ الْأَمْرُ وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ وَقِيلَ بُعْدًا  لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
Dan  (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit  dengan berkata: "Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit  berhentilah dari curahan hujanmu". Dan (ketika itu) surutlah air, serta  terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti  di atas gunung "Judi" serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya  bahawa): "Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim".
Surah Hud : 44
BALA TUHAN MERATA KEPADA ORANG JAHAT DAN BAIK
  وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Dan  jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala  bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara  kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan  ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.
Surah Al-Anfaal : 25
BANJIR DI AKHIRAT
Satu penegasan yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak , ialah banjir di akhirat kelak .
حَدِيثُ  ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا : عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ  عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ( يَوْمَ يَقُومُ النَّاسُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ )  قَالَ يَقُومُ أَحَدُهُمْ فِي رَشْحِهِ إِلَى أَنْصَافِ أُذُنَيْهِ *
Diriwayatkan  daripada Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda mengenai firman  Allah ( يَوْمَ يَقُومُ النَّاسُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ ) Yang bermaksud:  Hari ketika manusia berdiri menghadap Tuhan Semesta Alam. Baginda  bersabda: Seorang daripada mereka tenggelam dalam peluhnya sehingga  paras telinga *
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

 

 
 
 
 
 
 
 
0 comments:
Post a Comment