Friday 2 August 2013

Desak Perdana Menteri Nyatakan Pendirian Isu Mesir

1. Genap sebulan rampasan kuasa oleh kudeta tentera Mesir yang diketuai oleh Asisi. Pelbagai reaksi telah dipaparkan dalam media sehinggalah pembunuhan rakyat yang berdemonstrasi secara aman 26 julai yang lepas. Peristiwa ini menyaksikan lagi episod kezaliman dibumi Mesir yang penuh bersejarah itu.

2. Namun kerajaan Malaysia senyap membisu tanpa mengeluarkan apa-apa penegasan atau reaksi politik atas apa yang berlaku di negara Mesir tersebut. Sedangkan Mesir adalah salah satu rakan ahli dalam Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan rakan ekonomi serantau dengan Malaysia.

3. PAS melalui Dewan Pemuda telah saban kali menyatakan pendirian samada secara rasmi atau perhimpunan aman bagi membantah apa yang berlaku di negara Mesir kini. Sekali lagi LPPM DPPM menegaskan bahawa Presiden Mohamad Morsi perlu dikembalikan haknya memerintah Mesir dan kerajaan sementara tentera perlu dibubarkan.

4. LPPM DPPM menggesa Dato Seri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia menyatakan segera pendirian rasmi kerajaan dalam isu Mesir yang begitu meruncing ini. Kalau hanya tunggu dan lihat, tiadanya tekanan politik ke atas kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan sementara Mesir, akan memparahkan lagi keadaan di bumi para Nabi tersebut.

5. LPPM DPPM juga mendesak Perdana Menteri agar:

i. Mengeluarkan kenyataan rasmi agar Presiden Mohamad Morsi dibebaskan segera.

ii. Mengutuk pembunuhan beramai-ramai rakyat mereka sendiri pada minggu lalu.

iii. Mengadakan sidang parlimen khas bagi membincangkan isu Mesir serta status hubungan politik dan ekonomi dengan Mesir.

iv. Membuat penegasan kerajaan secara rasmi melalui OIC dan PBB.

6. Semoga mengembalikan Presiden Mohamad Morsi di tampuk pemerintahan akan menyelamatkan domokrasi yang semakin pudar di bumi Mesir.

Dr Ghazali bin Hasbullah
Lajnah Pekerja dan Professional Muda
DPPM
2hb Ogos 2013