Saturday 10 December 2011

HOSPITAL KERAJAAN TIDAK CUKUP UBAT: KERAJAAN UMNO/BNTIDAK WAJAR LEPAS TANGAN

Kenyataan Media
Lajnah Pekerja dan Professional Muda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahad: 9 Disember 2011
HOSPITAL KERAJAAN TIDAK CUKUP UBAT: KERAJAAN UMNO/BNTIDAK WAJAR LEPAS TANGAN
1. Di dalam era 'Rakyat Di Dahulukan Pencapaian Di Utamakan' ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia kesal dengan Kerajaan Umno/Bn yang lepas tangan dalam menjamin kesihatan rakyat. Sila lihat laporan akhbar The Star 7 Disember 2011 yang menyebut terdapat beberapa hospital di Malaysia tidak cukup ubat seperti yang berlaku di Hospital Melaka. Hal yang sedemikian tidak akan berlaku sekiranya Kerajaan Umno/Bn bersungguh-sungguh menjamin kesihatan rakyat. Usaha Malaysia mengejar taraf negara maju pun akan terbantut jika kesihatan rakyat diambil ringan oleh kerajaan Umno/ Bn. Kerajaan perlu menjadikan kebajikan rakyat dari sudut kesihatan ini sebagai agenda penting dalam pentadbirannya.
2. Apa yang berlaku perlu disiasat dan kerajaan perlu menjawabnya dengan segera. Apa yang dikesalkan ialah dalam bajet kerajaan, peruntukan untuk kesihatan hanyalah 4.6% daripada jumlah GDP (Gross Domestic Product), sedangkan saranan WHO dan purata peruntukan negara-negara di dunia adalah sebanyak 8.0%. Apa yang lebih dikesalkan ialah, pada masa yang sama penyalahgunaan dana awam dan kecuaian dalam tadbir urus kewangan telah berlaku dan seringkali diberitakan di dalam akhbar-akhbar sedangkan dana tersebut boleh disalurkan untuk ubat-ubatan bagi kegunaan rakyat. Namun, kerajaan Umno/Bn yang rakus ini lebih mementingkan kepentingan kroni dan peribadi daripada kepentingan rakyat Malaysia. Lihat saja projek lembu NFC yang mendapat pinjaman mudah kerajaan sehingga RM250 juta, projek jejantas pejalan kaki di Kuala Lumpur dan lain-lain projek yang penuh tandatanya dan mengecewakan. Itu belum lagi ketirisan kewangan sebanyak RM52 bilion setahun yang sentiasa berlaku di dalam pentadbiran kerajaan Umno/Bn.
3. Siapakah yang terjejas di dalam hal ini? Adakah para kroni Umno/Bn, para menteri dan pegawai tinggi kerajaan? Pastinya tidak! Rakyat yang miskin dan berpendapatan sederhanalah yang terjejas kerana mereka bergantung kepada perkhidmatan kesihatan awam. Meskipun kononnya kerajaan menitik-beratkan tentang kesihatan rakyat dengan membina Klinik 1M, namun klinik ini tidak menyelesaikan masalah apatah lagi terdengar banyak rungutan bahawa semua jenis penyakit hanya dibekalkan dengan Panadol yang boleh dibeli dengan harga RM2.00 di kedai runcit. Malah ianya seolah-olah tidak berbaloi dengan kos pembinaan/pengubahsuaian serta kos pengurusannya yang menelan berpuluh ribu setahun.
4. Perkhidmatan kesihatan adalah tanggungjawab kerajaan kepada rakyat. Ia bukan suatu perkara yang boleh dilayan seperti gula-gula politik dan hanya dijadikan sebagai perhiasan untuk digembar-gemburkan menjelang pilihanraya. Sebagai contoh, projek pembinaan Hospital Rembau, Negeri Sembilan. Majlis perletakan batu asas pada 7 Mac 2008 telah diwar-warkan di dalam akhbar-akhbar tempatan. Tapi sehingga kini, projek tersebut yang sepatutnya menjadi satu lagi tempat untuk rakyat mendapatkan khidmat kesihatan hanya tinggal batu asas. Begitu juga dengan perancangan pembinaan beberapa klinik kesihatan, masih tidak diluluskan oleh Kerajaan Umno/Bn. Sedangkan pengambilan tanah, pampasan tanah dan pelan pembinaan telah siap dikemukakan kepada menteri.
5. Ubat adalah paling sinonim dengan hospital. Perawatan dihospital biasanya akan berakhir dengan pemberian ubat. Penyakit kronik sebagai contohnya memerlukan ubat-ubatan yang berterusan tanpa ingkar. Pembekalan ubat yang terbantut akibat kekurangan bekalannya akan meningkatkan lagi morbidity dan mortality rakyat negara kita yang tercinta ini. Dewan Pemuda PAS memperingatkan kerajaan Umno/Bn jangan sesekali mempertaruhkan nyawa rakyat melalui pengurangan peruntukan dan apa jua alasan. Kelemahan pentadbiran kerajaan Umno/Bn ini telah sampai ke tahap yang terlalu serius dan perlu diganti. Oleh itu, atas tanggungjawab membela rakyat, kami akan memastikan rakyat melakukan perubahan dalam PRU13 nanti demi Malaysia yang lebih sejahtera dan menjamin kebajikan kepada semua.
DR GHAZALI BIN HASBULLAH
PENGERUSI LAJNAH PEKERJA DAN PROFESSIONAL MUDA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment