Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts

Thursday, 22 December 2011

Presiden Pertahan Dasar PAS

Selepas mendiamkan diri sejak tercetuskan isu kontroversi membabitkan bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali dan bekas timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, presiden PAS, Datuk Seri Abdul Haji Awang tampil mempertahankan dasar-dasar PAS termasuk konsep negara kebajikan.

Dalam kenyataannya itu, Hadi mengingatkan seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, bahawa parti itu telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan - kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.

pas seminar 071109 hadi awangTegasnya, pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh.

"Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan," tambahnya.

Menurutnya lagi, PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.

"Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan halatujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham," tambahnya.

Berikut adalah kenyataan penuh Abdul Hadi:

Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.
 
Firman Allah dalam Surah Attaubah ayat 122 :

Maksudnya : (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah:122)

Sabda Rasulullah S.A.W.

(Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya Faqeh (faham ) dalam  perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim

Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.

Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada  kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan  ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.

Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau  ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.

Mafhum  bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khususnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.

Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W.  telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam  yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.

Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan  pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia  juga.

Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W.  bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.

Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpihak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walaupun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain.

Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.

Dalam  perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar  Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud :

(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).

Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walaupun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.

Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah  ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari’yyah.

Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi : Al Quran, Hadith, Ijmaa, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura  pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.

PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan - kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.

Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan,  Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.

Perlu diingat, bahawa Umno yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah?

Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya walaupun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya  perjuangan Islam. Kita wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.

PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.

(Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia, laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.

PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.

Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.


Sent from Yahoo! Mail on Android

Saturday, 10 December 2011

HOSPITAL KERAJAAN TIDAK CUKUP UBAT: KERAJAAN UMNO/BNTIDAK WAJAR LEPAS TANGAN

Kenyataan Media
Lajnah Pekerja dan Professional Muda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahad: 9 Disember 2011
HOSPITAL KERAJAAN TIDAK CUKUP UBAT: KERAJAAN UMNO/BNTIDAK WAJAR LEPAS TANGAN
1. Di dalam era 'Rakyat Di Dahulukan Pencapaian Di Utamakan' ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia kesal dengan Kerajaan Umno/Bn yang lepas tangan dalam menjamin kesihatan rakyat. Sila lihat laporan akhbar The Star 7 Disember 2011 yang menyebut terdapat beberapa hospital di Malaysia tidak cukup ubat seperti yang berlaku di Hospital Melaka. Hal yang sedemikian tidak akan berlaku sekiranya Kerajaan Umno/Bn bersungguh-sungguh menjamin kesihatan rakyat. Usaha Malaysia mengejar taraf negara maju pun akan terbantut jika kesihatan rakyat diambil ringan oleh kerajaan Umno/ Bn. Kerajaan perlu menjadikan kebajikan rakyat dari sudut kesihatan ini sebagai agenda penting dalam pentadbirannya.
2. Apa yang berlaku perlu disiasat dan kerajaan perlu menjawabnya dengan segera. Apa yang dikesalkan ialah dalam bajet kerajaan, peruntukan untuk kesihatan hanyalah 4.6% daripada jumlah GDP (Gross Domestic Product), sedangkan saranan WHO dan purata peruntukan negara-negara di dunia adalah sebanyak 8.0%. Apa yang lebih dikesalkan ialah, pada masa yang sama penyalahgunaan dana awam dan kecuaian dalam tadbir urus kewangan telah berlaku dan seringkali diberitakan di dalam akhbar-akhbar sedangkan dana tersebut boleh disalurkan untuk ubat-ubatan bagi kegunaan rakyat. Namun, kerajaan Umno/Bn yang rakus ini lebih mementingkan kepentingan kroni dan peribadi daripada kepentingan rakyat Malaysia. Lihat saja projek lembu NFC yang mendapat pinjaman mudah kerajaan sehingga RM250 juta, projek jejantas pejalan kaki di Kuala Lumpur dan lain-lain projek yang penuh tandatanya dan mengecewakan. Itu belum lagi ketirisan kewangan sebanyak RM52 bilion setahun yang sentiasa berlaku di dalam pentadbiran kerajaan Umno/Bn.
3. Siapakah yang terjejas di dalam hal ini? Adakah para kroni Umno/Bn, para menteri dan pegawai tinggi kerajaan? Pastinya tidak! Rakyat yang miskin dan berpendapatan sederhanalah yang terjejas kerana mereka bergantung kepada perkhidmatan kesihatan awam. Meskipun kononnya kerajaan menitik-beratkan tentang kesihatan rakyat dengan membina Klinik 1M, namun klinik ini tidak menyelesaikan masalah apatah lagi terdengar banyak rungutan bahawa semua jenis penyakit hanya dibekalkan dengan Panadol yang boleh dibeli dengan harga RM2.00 di kedai runcit. Malah ianya seolah-olah tidak berbaloi dengan kos pembinaan/pengubahsuaian serta kos pengurusannya yang menelan berpuluh ribu setahun.
4. Perkhidmatan kesihatan adalah tanggungjawab kerajaan kepada rakyat. Ia bukan suatu perkara yang boleh dilayan seperti gula-gula politik dan hanya dijadikan sebagai perhiasan untuk digembar-gemburkan menjelang pilihanraya. Sebagai contoh, projek pembinaan Hospital Rembau, Negeri Sembilan. Majlis perletakan batu asas pada 7 Mac 2008 telah diwar-warkan di dalam akhbar-akhbar tempatan. Tapi sehingga kini, projek tersebut yang sepatutnya menjadi satu lagi tempat untuk rakyat mendapatkan khidmat kesihatan hanya tinggal batu asas. Begitu juga dengan perancangan pembinaan beberapa klinik kesihatan, masih tidak diluluskan oleh Kerajaan Umno/Bn. Sedangkan pengambilan tanah, pampasan tanah dan pelan pembinaan telah siap dikemukakan kepada menteri.
5. Ubat adalah paling sinonim dengan hospital. Perawatan dihospital biasanya akan berakhir dengan pemberian ubat. Penyakit kronik sebagai contohnya memerlukan ubat-ubatan yang berterusan tanpa ingkar. Pembekalan ubat yang terbantut akibat kekurangan bekalannya akan meningkatkan lagi morbidity dan mortality rakyat negara kita yang tercinta ini. Dewan Pemuda PAS memperingatkan kerajaan Umno/Bn jangan sesekali mempertaruhkan nyawa rakyat melalui pengurangan peruntukan dan apa jua alasan. Kelemahan pentadbiran kerajaan Umno/Bn ini telah sampai ke tahap yang terlalu serius dan perlu diganti. Oleh itu, atas tanggungjawab membela rakyat, kami akan memastikan rakyat melakukan perubahan dalam PRU13 nanti demi Malaysia yang lebih sejahtera dan menjamin kebajikan kepada semua.
DR GHAZALI BIN HASBULLAH
PENGERUSI LAJNAH PEKERJA DAN PROFESSIONAL MUDA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

Pemimpin Yang Ada Skandal Patut Berundur

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) menyokong gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri yang meminta Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya berundur kerana terpalit dengan kes rasuah yang dikaitkan dengan beliau dan keluarganya. Bagi DPP Malaysia, elok benar jika Datuk Seri Shahrizat Jalil berundur waktu ini sebelum beliau ‘dihalau’ keluar oleh partinya.

DPP Malaysia berpendapat hayat politik Datuk Seri Shahrizat sudah tamat dengan siri pendedahan yang dilakukan yang sukar untuk dinafikan. Bahkan, isu beliau kini sudah menjadi bebanan pula kepada UMNO-BN dan sukar untuk mereka menjawab setiap persoalan yang ditanyakan oleh rakyat.

DPP Malaysia melihat pertarungan politik baru bagi menghadapi PRU ke 13 perlu dijalankan dalam dimensi baru. Rakyat sekarang sudah mula menilai pemimpin atau calon yang bertanding dari mana-mana parti politik dan kriteria utama yang mereka letakkan untuk mengangkat pemimpin yang akan dinobatkan dalam PRU ke 13 nanti adalah bersih, berakhlak mulia, berjiwa rakyat, mempunyai wibawa, membela isu rakyat, serta mempunyai iltizam yang tinggi untuk membangunkan negara.

Rakyat sudah jemu dan menolak pemimpin yang dipalitkan dengan rasuah, skandal, korup serta tidak berwibawa.

Selain itu, parti-parti politik perlu menjaga imej negara di pentas antarabangsa. Rakyat negara ini tidak rela reputasi negara ini jatuh di mata masyarakat dunia angkara pemimpin yang dikaitkan dengan rasuah. Untuk membina imej yang baik ini, pemimpin di mana-mana peringkat perlu bersih malah dilihat bersih oleh rakyat. Pemimpin tidak boleh terkait dengan apa juga skandal yang menjadi masalah kepada beliau di kemudian hari. Pemimpin mesti menjadi contoh yang baik kepada masyarakat untuk diikuti agar mudah arahan mereka dipatuhi oleh rakyat.

Justeru itu, DPP Malaysia melihat saranan Tun Dr Mahathir Mohamad perlu ditujukan juga kepada semua pemimpin parti politik tidak kira mereka dari UMNO-BN mahupun pembangkang. DPP Malaysia menasihatkan mana-mana pemimpin yang pernah dikaitkan dengan apa juga kes sama ada rasuah, korupsi, penyelewengan kuasa, mengamalkan kronisme, terlibat dengan skandal seks, jenayah, dan lain-lain lagi perlu berundur dengan terhormat dengan memberikan laluan kepada pemimpin lain untuk mengemudi bahtera perjuangan parti politik masing-masing. Lanskap politik baru Malaysia mesti dicoretkan di atas kanvas yang putih bersih diwarnai oleh pemimpin yang murni dan bersih dari sebarang skandal!


Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Saturday, 3 December 2011

JANGAN CALAR IMEJ KEPIMPINAN BERSIH NEGERI PAKATAN RAKYAT DENGAN ISU HIV


Perhimpunan Agung Umno 2011 (PAU) yang sedang berlangsung sekarang di PWTC adalah medan bagi Umno untuk membelasah Pakatan Rakyat. Mempolitikkan isu HIV adalah satu sikap yang amat tidak bertanggungjawab sebagaimana yang ditunjukkan oleh para perwakilan PAU 2011. Dengan bermodalkan fakta HIV tertinggi di negeri-negeri Pakatan Rakyat, para perwakilan PAU 2011 cuba mencalar imej bersih kepimpinan negeri Pakatan Rakyat. UMNO sudah kekeringan isu untuk dihidangkan kepada rakyat menjelang ketenatan imej rasuah pemimpin mereka. Sekaligus sikap seperti inilah yang akan mengundang kemusnahan kepada rakyat Malaysia. Malah, inilah wajah sebenar para pemimpin UMNO/BN.
Human Immunodeficiency Virus (HIV) yang akan membawa penyakit Autoimmune Deficiency Syndrome (AIDS) merupakan masalah global. Ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia. Semakin hari semakin meningkat. Usaha yang berterusan oleh semua pihak perlu dilakukan dan tentunya kos yang besar perlu dilaburkan demi melihat Malaysia aman dan sejahtera dari HIV/AIDS.
Isu peningkatan kes HIV di Kelantan tidak perlu dijadikan jenaka. Bukan di Kelantan bilangan yang tertinggi penghidap jangkitan HIV tetapi Selangor (yang diperintah oleh UMNO/BN sehingga penggal lalu) dan Johor (negeri yang diperintah oleh UMNO/BN sejak merdeka). Jumlah peningkatan HIV dari sudut statistik itu penting sebagaimana yang dilaporkan oleh Majlis AIDS Malaysia (MAM) untuk menganggarkan jangkitan dalam populasi masyarakat, namun sebagai pemimpin yang prihatin kita perlu melihat jumlah sebenar mereka yang dijangkiti kerana setiap mereka adalah rakyat Malaysia dan setiap mereka memerlukan kos untuk dirawat yang menggunakan wang seluruh rakyat Malaysia.
Jika menyalahkan Kelantan sebagai sumber HIV sebagaimana yang dijenakakan, apakah di sana tiada peranan Kerajaan Persekutuan untuk menanganinya? Mengikut statistik, 75% jangkitan HIV adalah dari pengambilan suntikan dadah menggunakan perkongsian jarum, manakala 15% adalah dari seks bebas. Tanggungjawab siapakah untuk mencegahnya? Kalau pemimpin UMNO/BN begitu rakus untuk mengatakan bahawa kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat tidak melaksanakan tanggungjawabnya, nah bukankah semua badan pencegahan untuk 75% kes HIV itu adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan? Polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADK), Hospital dan Jabatan Kesihatan, Kementerian Penerangan dan Kementerian Pendidikan yang kesemuanya itu di bawah Kerajaan Persekutuan. Persoalannya, apakah UMNO/BN mahu menyalahkan seluruh jentera kerajaan persekutuan itu atas peratusan kes HIV yang mereka sangka adalah akibat dari kelemahan kerajaan negeri?
Cukup mudah untuk menuding jari kepada pihak yang mereka benci. Apatah lagi apabila ianya boleh meraih keuntungan politik dan dapat mengalihkan isu rasuah yang melibatkan para pemimpin tertinggi mereka, sehingga dalam isu yang kritikal dan membabitkan nyawa rakyat sekalipun, UMNO/BN sanggup menjadikan isu politik murahan mereka. UMNO/BN kena sedar, pencegahan yang paling ampuh di antara undang-undang yang dicipta manusia ialah undang-undang Allah iaitu Undang-Undang Islam. Kelantan telah sedaya upaya meluluskan undang-undang Kanun Jenayah Syariah pada tahun 1993, tetapi UMNO/BN telah menghalangnya melalui satu surat amaran Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu. UMNO/BN juga perlu sedar bahawa Hukum Islam bukan sahaja wajib dilaksanakan di Kelantan, tapi di seluruh Malaysia. Jika sistem dan Hukum Islam dilaksanakan, pastinya kita melihat menurunnya penyakit yang melibatkan kesalahan-kesalahan hudud dan takzir itu yang menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan kes HIV bukan sahaja di Kelantan, tetapi di seluruh Malaysia. Rakyat akan sentiasa ingat bahawa UMNO/BN-lah yang menyumbang kepada gagalnya hukum Allah dilaksanakan di bumi Malaysia.
Bagi pihak Dewan Pemuda PAS, usaha pencegahan yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz sepatutnya dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain kerana Kelantan adalah negeri yang pantas melaksanakan usaha pencegahan dan pengawalan penularan kes HIV. Antaranya, Kelantan adalah negeri pertama yang melaksanakan program Pengurangan Kemudaratan (Harm Reduction) di bawah Kementerian Kesihatan, Kelantan antara negeri yang terawal mewajibkan saringan HIV Pra-perkahwinan (premarital HIV screening) bagi pasangan yang akan mendirikan rumahtangga. Kelantan memperuntukkan sebahagian dana kerajaan negeri kepada Pertubuhan Masyarakat Prihatin sebuah badan NGO yang sangat aktif menangani mangsa HIV, memberikan latihan kepada para imam di seluruh negeri Kelantan dan banyak lagi. Hanyasanya kepantasan penyakit itu merebak amat sukar dibendung menyebabkan kes ini masih tinggi di Kelantan.
Sudah tiba masanya rakyat menolak kerajaan UMNO/BN yang ketandusan idea ini.

Monday, 28 November 2011

MOHON SPR DAN JPN BERTINDAK SECARA PROFESIONAL


Pendedahan demi pendedahan telah dibuat oleh Dewan Pemuda Pas melalui Lajnah Mobilsasi Rakyat mengenai pemberian kad pengenalan kepada warga asing. Namun Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihanraya masih lagi tidak bertindak mengikut tahap profesionalism mereka. Jawapan yang dikeluarkan setakat ini adalah kenyataan politik, seolah-olah mewakili Umno/bn. Antara jawapan yang dikeluarkan adalah, pihak-pihak tertentu tidak mengemukakan bukti kepada SPR. Bukti yang bagaimana lagi yang diperlukan oleh SPR dan JPN?
Sehingga kini, SPR telah mengiktiraf kenyataan PAS bahawa wujudnya pengundi hantu. Pengiktirafan itu, yang dibuktikan melalui pendedahan nama-nama meragukan yang bukannya seorang-dua, tetapi sehingga lebih 60,000 nama.
Pengerusi  SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan  berkata nama-nama itu disiarkan untuk tatapan umum di laman web dan media bagi membolehkan individu berkenaan mengunjungi pejabat SPR bagi membantu menjelaskan kedudukan.
Namun, sehingga kini, kita menyedari bahawa ini hanyalah tindakan yang sekadar ingin melepaskan jerut ditengkuk bahkan ianya acuh tidak acuh.
Terdapat beberapa sudut tindakan yang hanya dengan ini membuktikan SPR telus dan benar-benar menegakkan demokrasi di dalam Negara.
1.       Nama-nama yang disiarkan, mempunyai rekod alamat tempat tinggal. Mengapakah tiada agensi, baik SPR, mahupun JPN melakukan penjejakan terhadap mereka ini? Ini adalah suatu kesalahan jenayah, kerana memalsukan maklumat diri seseorang warganegara.
2.       Sebelum mereka mendaftar sebagai pengundi, “hantu-hantu” ini perlu mempunyai kad pengenalan yang berasingan supaya dapat didaftar sebagai pengundi kedua (atau berganda).
Penghasilan kad pengenalan ini dibuat di Jabatan Pendaftaran Negara. Rekod petugas yang mendaftar mereka di kaunter ada di dalam simpanan JPN. Maka, mengapa petugas-petugas yang mendaftar ini tidak di soal siasat? Bahkan jika didapati bersalah, mereka perlu ditangkap dan dibicarakan kerana mencemarkan institusi demokrasi Negara dan secara lebih jelas, memperjudikan keselamatan Negara kita.
3.       Pihak PDRM perlu menahan “hantu-hantu” ini kerana mereka telah menipu kesemua rakyat negara ini dan memperjudikan keselamatan negara.
4.       Setelah siasatan dibuat, pendedahan siapakah yang merupakan dalang utama ini pendaftaran haram hantu-hantu ini perlu dibuat. Dalang-dalang ini perlu disiarkan muka mereka dikaca televisyen, dituntut meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia yang mendambakan keadilan.
5.       Pihak SPRM juga perlu melihat kes ini dengan lebih kritis kerana mungkin membabitkan salah guna kuasa pihak SPR atau JPN.
Sepatutnya, tindakan diatas perlu dikoordinasikan oleh pihak SPR jika benar-benar ingin melihat demokrasi negara ini menjadi bersih dan adil.
Jika tindakan-tindakan ini tidak diambil, maka ternyata, SPR bahkan JPN memang hendah membela hantu-hantu ini atas sebab-sebab menjaga kepentingan ahli politik dan parti pemerintah. Ini kerana SPR dan JPN adalah dilantik oleh pemerintah BN yang zalim!!!
Kami memperingatkan SPR dn JPN, supaya harta yang mereka cari, demi menjaga kerajaan BN serta diri mereka sendiri tidak menjadi bahan bakar api Neraka di akhirat nanti.
Salam Maal Hijrah dan salam penghijrahan demokrasi mulia 1433H.