Showing posts with label Minda Ketua Pemuda. Show all posts
Showing posts with label Minda Ketua Pemuda. Show all posts

Monday, 6 April 2015

Hudud: Tiada lagi ketakutan



Kata Confucius, “Apabila anda tahu suatu perkara, dan menyedari anda mengetahuinya, dan apabila anda tidak tahu mengenai suatu perkara, dan menyedari anda tidak mengetahuinya. Itu adalah pengetahuan”
Pembentangan Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 di persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini merancakkan semula perbahasan dan perdebatan di kalangan masyarakat awam dan pembuat undang-undang berkenaan pelaksanaan hukuman hudud di negara ini, khususnya di negeri kelantan.
Saya secara peribadi merasakan ini merupakan perkembangan yang baik, apabila budaya perbincangan secara ilmiah dan perbahasan secara sihat berlaku, membawa kepada penambahbaikan samada kepada tahap ilmu masing-masing, ataupun kepada cara kita berfikir dan merancang gerakerja.
Bagaimanapun, ramai di kalangan kita pada hari ini masih tidak memahami apa itu hukuman hudud, lantas merasa takut sebelum berusaha memahaminya. Ruang yang ada di media perdana pula tidak memberi ruang yang baik kepada pihak tertentu, contohnya kerajaan negeri Kelantan untuk memberikan penerangan dan sebagainya.
Penerbitan semula buku ringkas penerangan mengenai hudud, berserta tambahan terjemahan bahasa inggeris ini dikira tepat pada waktunya, bagi meningkatkan kefahaman masyarakat umum, samada muslim atau non muslim. Ia juga diharap dapat mengurangkan stigma masyarakat terhadap hukuman hudud. Semoga dengan kehadiran buku ini, kita mendapat gambaran yang lebih jelas bagaimana hukum hudud ini sebenarnya hukum yang berteraskan prinsip keadilan, sesuai dengan sifat Islam sebagai Rahmatan lil ‘alamin, iaitu rahmat ke seluruh alam. 

SUHAIZAN KAYAT
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Sesi 2012-2014

Tuesday, 27 December 2011

Jangan Perkecilkan Mahasiswa


1. Mahasiswa adalah " Agent of Change" dan ilmu yang mereka miliki meletakkan mereka sebagai intelek muda dan ia merupakan aset untuk mereka berani, yakin dan bertanggungjawab dengan tindakan yang mereka ambil. Mereka bukan lagi budak hingusan yang boleh ditempelak, dipulas telinga dan ditampar, apa lagi untuk diludah.

2. Mereka mampu bangkit membentuk gelombang "Third Force" yang berkesan ke arah membangkitkan ummah dari lena yang panjang lantas mencetus perubahan dan meletakkan negara selamat serta bebas dari anasir yang meruntuhkan peradaban seperti rasuah, pecah amanah, ketidaktelusan dan sebagainya.

3. Kerajaan sekali - kali tidak wajar mengkesampingkan tuntutan mereka apatah lagi memperkecilkan mereka. Saya lihat inilah masanya, mahasiswa menyusun kebangkitan lalu memposisikan diri mereka selayaknya, sesuai dengan ilmu dan semangat yang mereka miliki. Usah gentar berkelana di alam buana ini, menggalas cita - cita perjuangan. Tidak sekadar berjuang untuk membebaskan mahasiswa tetapi juga menggerak kesedaran serta kebangkitan rakyat.

4. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan syabas kepada "thaurah" yang mula menampakkan rentak kebangkitan mahasiswa. Kini mereka mula melepaskan diri dari pasung puaka yang membelenggu leher mereka sejak sekian lama. Kami pastinya bangga dengan perkembangan ini.

5. Menuntut ilmu biarlah seiring dengan semangat perjuangan. Jangan abaikan salah satu dari keduanya. Ilmu adalah senjata berkesan bagi perjuangan yang kita dokong. Ada senjata tetapi tidak menghunusnya untuk perjuangan suci ini hanya memperlihatkan kita lemah. Demikian juga berjuang tanpa senjata [ilmu] membuatkan kita salah memilih hala tuju yang benar.

Saya ucapkan selamat berjuang, sabar dan tabah mendepani ujian buat seluruh Mahasiswa yang berani dan benar.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Saturday, 24 December 2011

Pemuda PAS ikrar bela mahasiswa

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 24 Dis: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia memuji keberanian para mahasiswa baru-baru ini yang menurunkan satu kain bercetak wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan ibu pejabat Umno sebagai simbolik tuntutan mereka terhadap kempen kebebasan akademik yang diperjuangkan selama ini.
Pengarahnya, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi  berkata, tindakan para mahasiswa tersebut sebenarnya rentetan daripada rasa mual mereka terhadap dunia akademik di Malaysia yang semakin lesu dan terkongkong oleh sikap Kerajaan Umno Barisan Nasional yang terus menekan para ahli akademik yang berani bersuara demi kebenaran.
Katanya, Juham melihat tindakan para mahasiswa tersebut adalah tindakan yang berani dan merupakan suatu manifestasi kepada hak dan kebebasan mereka untuk bersuara sepertimana yang dibenarkan oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, jelasnya mahasiswa harus menjadikan perkara itu sebagai suatu momentum untuk terus maju ke hadapan tanpa gusar dan takut dengan ugutan-ugutan bacul dari Umno Barisan Nasional dan konco-konconya.
Malah, ujarnya Juham melihat perarakan kumpulan pelajar pro-Aspirasi yang menjadi budak-budak suruhan Umno berdemonstrasi di hadapan bangunan kementerian pengajian tinggi baru-baru yang menuntut Datuk Saifuddin Abdullah supaya meletakkan jawatan kerana didakwa "terlalu mesra" dengan pelajar pro-Mahasiswa, tidak lain dan tidak bukan adalah tindakan terdesak Kerajaan Umno Barisan Nasional yang malu apabila kain bercetak wajah Presiden mereka diturunkan.
"Sekiranya mereka benar-benar berani dan yakin dengan pendirian mereka, kenapa kumpulan pelajar pro-Aspirasi tersebut enggan untuk berjumpa Datuk Saifuddin Abdullah walaupun telah diminta berbuat demikian," ujarnya kepada Harakahdaily.
Juham selanjutnya, kata beliau mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah menyerahkan notis kepada aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim supaya menghadiri sesi pendengaran tatatertib pada 9 Januari berhubung insiden menurunkan bendera tersebut.
Tegasnya, Juham melihat tindakan UPSI tersebut seumpama menghina keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, tambahnya UPSI dan lain-lain institut pengajian tinggi seharusnya mengambil sikap menghormati keputusan mahkamah tersebut yang mengiktiraf hak kebebasan bersuara mahasiswa.
Tambahnya lagi, tindakan UPSI tersebut jelas mencerminkan tindakan terdesak Umno Barisan Nasional bagi menakut-nakutkan mahasiswa kerana Umno sedar bahawa mahasiswa merupakan kuasa perubah yang besar dan mampu menggulingkan mereka dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.
Juham, jelasnya dari dulu, kini dan selamanya tanpa jemu sentiasa berpegang dan berpegang teguh kepada kebebasan untuk bersuara di mana ia adalah suatu hak asasi kepada semua rakyat Malaysia dan ia jelas termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun dinafikan oleh Kerajaan Umno Barisan Nasional.
"Justeru, Juham yang terdiri daripada barisan peguam-peguam di seluruh Malaysia berikrar akan membela dan menyokong para mahasiwa ini sekiranya mereka didakwa di mahkamah," katanya.
Malah, ujarnya Juham bersedia untuk memberikan khidmat nasihat guaman percuma kepada para mahasiswa sekiranya mereka dipanggil untuk menghadiri tindakan tatatertib sebagai bukti sokongan padu pihaknya kepada gerakan mahasiswa yang mendokong kebenaran dan keadilan.
"Akhirnya, Juham mengucapkan syabas kepada seluruh mahasiswa atas keberanian mereka dan Juham menyeru mahasiswa sekalian supaya terus maju ke hadapan tanpa rasa gentar dan takut dalam menyuarakan kebenaran yang merupakan hak asasi anda semua dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara," tegasnya.

PAS Berindentitikan Islam

1. Parti Islam Se Malaysia [PAS] didakwa mengalami krisis identiti oleh  Ustaz Abdullah Zaik selaku Presiden ISMA berasaskan kenyataan beberapa individu lalu menyifatkan PAS tidak konsisten dan mengalami kekeliruan terhadap hala tuju partinya. Asas dakwaan ini tidak valid.

2. Pertama : Saya ucapkan terima kasih atas perhatian yang diberikan oleh Presiden ISMA terhadap PAS sekaligus menarik perhatian umum khasnya anggota ISMA sendiri kepada PAS untuk mengenalinya dengan lebih dekat dan biasanya apabila dicetuskan sesuatu polemik, maka ia akan menarik perhatian serta perasaan ingin tahu terhadap perkara tersebut. Dalam kes ini, PAS menjadi subjek polemik yang dicetuskan oleh Presiden ISMA, sekaligus memberikan publisiti kepada PAS.

3. Kedua : Identiti ialah pengenalan dan jati diri. Apabila kita bercakap soal  Identiti PAS, ertinya kita bercakap mengenai pengenalan dan jati diri PAS. Kepada siapa yang belum mengenali PAS atau buat - buat tidak kenal, maka izinkan saya memperkenalkan buat kesekian kalinya setelah PAS ditubuhkan sejak 1951 berasaskan undang - undang tubuhnya.

Inilah Pengenalan  dan Jati diri PAS :

a] Fasal 3 . Perlembagaan PAS : Dasar PAS ialah Islam .
b] Fasal 4 . Perlembagaan PAS : Seruan PAS ialah Allahu Akbar.
c] Fasal 5 . Perlembagaan PAS : Tujuan PAS ialah :

~ Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai – nilai hidup Islam dan hukum – hukumnya menuju keredhaan Allah .

~ Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara .

d] Fasal 6 . Perlembagaan PAS : Usaha – usaha :

~ Menyeru ummat Manusia kepada syariat Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan , tulisan dan amalan .

~ Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai – nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran , ekonomi dan social serta pelajaran dan pendidikan .

4. Isu negara berkebajikan sering dijadikan turning point untuk menyerang PAS kononnya PAS telah tersasar dari landasan perjuangan asal iaitu Negara Islam, lalu mereka mendesak supaya PAS kembali menggunakan istilah Negara Islam bukannya Negara Berkebajikan.

5. Lebih menarik, UMNO juga menyatakan demikian sedang UMNO lah antara yang paling kuat menentang hasrat PAS  sewaktu PAS menggunakan istilah Negara Islam sebelum ini. Sekarang apabila PAS menggunakan istilah Negara Berkebajikan, mereka sibuk pula mendesak supaya PAS tukar kembali kepada istilah Negara Islam. Mengada - ngada betul lah mereka ni !

6. Suka saya jelaskan di sini bahawa langkah dan usaha PAS Membangun Negara Berkebajikan adalah merupakan Fasa 2 pembinaan Negara Islam. Setelah PAS menerbitkan dokumen Negara Islam tempoh lalu, maka ia seperti plan induk bagi PAS menjayakan hasrat mendaulatkan Syariat Allah swt.  Itulah Fasa 1 projek PAS.

7. Fasa ke 2 , PAS bergerak dengan lebih praktikal. Bukan sahaja membentang plan induk [ Fasa 1 ] yang lengkap dengan teorinya, kini PAS tampil dengan Negara Berkebajikan sebagai subtance kepada Negara Islam. Ia adalah pengisian dan perlaksanaan. Sekaligus menjawab pelbagai tohmahan kononnya Negara Islam adalah negara hukum semata - mata atau juga di tohmah sebagai negara mullah.

8. Negara Islam ialah negara yang dibina berasaskan bimbingan syariat Islam. Sementara elemen utama dalam Syariat Islam ialah adil, telus, integriti dan amanah selain ubudiyyah [pengabdian diri kepada Allah] . Ia menepati pembentukan Good Governence yang menjadi sendi utama bagi Negara Berkebajikan yang mahu dibangunkan oleh PAS.

9. Menganggap PAS telah tersasar dari landasan asal perjuangannya adalah berpunca dari salah faham atau buat - buat tidak faham terhadap matlamat dan objektif perjuangan PAS. Selayaknya mereka terlebih dahulu membuka dan melihat Plan Lengkap Projek PAS bagi memahami keseluruhan Fasa yang akan dibina oleh arkitek PAS.

10. Negara Berkebajikan bukan krisis identiti tetapi ia adalah Pengukuhan Identiti. Justeru ia memantapkan lagi pengenalan dan jati diri PAS dengan usaha bina dan tawaran yang lebih praktikal, mudah dan boleh laksana.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Saturday, 10 December 2011

Penghinaan Terhadap Hudud

1. Sebelum ini negara kecoh dengan kenyataan Kamal Saidin Penasihat Agama Menteri Besar Terengganu dan  Chua Soi Lek Presiden MCA yang mempersenda hukum Allah swt dalam Majlis Wacana Hudud di Wisma MCA baru - baru ini sedang beliau tiada authoriti untuk bercakap mengenai hukum Islam. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ust Fathul Bari selaku Pengerusi Sekretariat Ulama' Muda  UMNO sebagai salah seorang panel.

2. Belum pun reda rasa sugul diatas penghinaan terhadap hukum Allah swt dan perlecehan terhadap disiplin ilmu ketika membincangkan persoalan ini, kini tercetus pula penghinaan yang lebih strategik dan terancang dengan terhasilnya filem pendek di bawah tajuk Lagi Hudud PAS yang kini disiar menerusi laman youtube.

3. Pelaku yang mendalangi penghinaan terancang terhadap hukum Allah swt sedang berdepan dengan  satu tanggungjawab yang sangat berat. Saya terlebih dahulu mewakili DPPM mengharapkan dalang dan para pelakon muslimnya bertaubat kepada Allah swt dan kembali kepangkalan jalan  [bahkan pelakon non muslim juga selayaknya tidak menghina agama Islam dan mereka mesti memohon maaf ] lalu menjadikan bakat mengarah dan berlakon filem itu ke arah pembikinan filem pendek yang mendidik rakyat agar lahir sebuah generasi yang soleh serta menghormati nilai agama dan ilmu.

4. DPPM juga mengharapkan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan wajar kepada mereka termasuk ke atas pemilik akaun kawasaki9722 yang menyiarkan filem tersebut. Filem ini tidak menguntungkan sesiapa malah mengundang kebencian ramai. Lihat sahaja [ statistik sehingga artikel ini ditulis ] jumlah like [ 91 orang ] berbanding jumlah dislike [ 4,299 orang ] sementara jumlah penontonnya [ 10, 123 orang ].

5. Kami kesal apabila kebebasan berkarya digunakan untuk menghina hukum Allah swt. sedang mereka tanpa segan silu menikmati segala macam kemudahan, keselesaan dan nikmat anugerah Allah swt di atas muka bumi ini. Masih terlalu banyak ruang kebaikan untuk mereka menghasilkan karya bermutu dengan bakat  seni yang mereka miliki.

6. Saya doakan agar mereka insaf dan mengalu - alukan bakat seni yang mereka miliki untuk disalurkan kepada pelbagai bentuk karya yang mampu menaikkan nama Islam.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Saturday, 3 December 2011

Hijrah : Kebangkitan Anak Muda


1. Hijratur Rasul saw adalah satu lembaran agung yang telah memahat sejarah gemilang buat perjuangan Islam yang didokong oleh al Musthafa saw tatkala ia adalah garis pemisah yang membebaskan ummah dari belenggu jahiliyyah dan noktah gemilang pembentukan sebuah baldatun toyyibah wa rabbun ghafur [ negara yang baik - aman, sejahtera dan membangun - sementara tuhan mengurniakan keampunanNya ] 2. Justeru memperingati ulangtahun perisiwa hijrah, selayaknya setiap individu  khasnya anak muda menghayati sejarah agung ini dan bersedia untuk  melakukan sebuah perubahan total ke arah pembentukan masa depan negara yang aman, sejahtera, harmoni dan mendapat lindungan rahmat serta keampunan Allah swt.
3. Peristiwa Hijratur Rasul sarat dengan kisah pengorbanan. Samaada pengorbanan nyawa sebagaimana yang dibuktikan oleh Saidina Ali Karramallahuwajhah, pengorbanan harta seperti yang dipamerkan oleh Suhaib ar Ruumi sehingga kisahnya dirakam oleh Allah swt di dalam al Quranil Kareem :
وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ
Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.
al baqarah : ayat 207
4. Sunnatullah, bahawa perjuangan besar untuk melunaskan sebuah perubahan dan amanah gerakkerjanya, menghadapi cabaran yang mengundang implikasi besar, namun itulah harga sebuah perjuangan yang mesti dibayar oleh para pejuang . Harta dan nyawa menjadi taruhan demi sebuah perjuangan suci.
5. Bangkitlah wahai sekelian anak muda dari tidur yang panjang. Kini kita berada selekoh akhir untuk membuat pecutan kemenangan ke garis penamat. Sempena ulangtahun  Hijrah ar Rasul saw kali ini, kebangkitan anak muda mewarnai gerakan perubahan adalah suatu yang sangat didambakan.
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.