Sunday, 22 January 2012

Selamat tahun baru cina

From Evernote:

Selamat tahun baru cina

Lujnah pekerja dan profesional muda dewan pemuda pas malaysia mengucapkan selamat menyambut tahun baru cina kepada seluruh rakyat malaysia yang berbangsa cina, khususnya kepada para pekerja dan profesional cina di negara ini.
Perbezaan warna kulit, bahasa dan salur galur keturunan adalah ciptaan Tuhan. Justeru kitalah yang mengharmonikan kehidupan pelbagai bangsa ini dengan saling faham memahami, berjuang menegakkan keadilan dan menganjurkan kebajikan.

Tuesday, 17 January 2012

PANAS!!! BEKAS MENTERI DAKWA BN BELI UNDI DI PILIHANRAYA LALU

PANAS!!! BEKAS MENTERI DAKWA BN BELI UNDI DI PILIHANRAYA LALU



Bekas menteri dakwa BN beli undi dengan wang tunai

PETALING JAYA, 17 Jan — Bekas menteri persekutuan daripada Umno hari ini mendakwa wang yang digunakan pada kempen pilihan raya lalu adalah untuk membeli undi, satu taktik yang dikenali sebagai "bom".


Tan Sri Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir (gambar) berkata demikian dalam satu forum dengan menjelaskan mengalami pengalaman itu sendiri dengan memberi RM200 hingga RM1,000 dalam kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) untuk mendapat undi.

"Saya telah menjadi ketua dalam banyak kempen dan saya diberikan wang dalam jumlah yang banyak untuk diagihkan," kata bekas menteri penerangan dan pelancongan di Persidangan Perancangan Strategik Malaysia 2012 di sini.

"Ia secara terang-terangan untuk membeli undi."

Abdul Kadir berkata istilah yang digunakan untuk strategi itu adalah "bom".

Beliau menambah secara peribadi tidak pernah menggunakan wang itu.

James Chin, Ketua Sekolah Seni dan Sains Sosial, Monash University, Bandar Sunway, berkata strategi itu merupakan paling berkesan di Sabah dan Sarawak.

Semasa ucapannya, Abdul Kadir berkata semasa beliau masih memegang jawatan dalam Umno, beliau mahu mengingatkan mereka tentang "Amanah Merdeka" — yang bermaksud memberi rakyat hak untuk mempunyai pilihan raya bersih dan adil.

Beliau turut menggesa Umno agar tidak perlu takut untuk kalah sekiranya ikhlas dalam perjuangan.

"Jika anda kalah, terimanya; rakyat ubah kerajaan banyak kali di USA dan Australia," katanya.

"Saya adalah ahli Umno, saya tiada masalah jika kalah. Jika anda berada di sana untuk menggunakan jutaan ringgit untuk diri sendiri dan kroni anda atau jika saya mempunyai bilion ringgit dan saya akan ditangkap selepas saya kehilangan kuasa, maka saya akan gunakan semua tipu helah ini.

"Jika anda ikhlas, tiada apa yang perlu ditakutkan," tambahnya.

Beliau berkata untuk mempunyai pilihan raya bersih dan adil, perlu ada akses sama rata terhadap media, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan jabatan kerajaan mesti neutral.

"Anda perlu berikan mereka (pembangkang) kebebasan untuk mempunyai TV, radio dan akhbar," katanya. "Selama 50 tahun PAS telah meminta lesen akhbar tetapi tidak diberikan — kerajaan pembuli besar."

Beliau menambah semasa pilihan raya, BN tidak sepatutnya menggunakan Kementerian Penerangan, Felda, Felcra dan Unit Cawangan Khas (SB) serta agensi lain untuk membantu kempen mereka.

Abdul Kadir juga Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sazean.

Malaysian Insider

Read more: http://biaqpila.blogspot.com/2012/01/panas-bekas-menteri-dakwa-bn-beli-undi.html#ixzz1jlzC3j8U


Kerana hudud....

"Kenapa Islam minta potong tangan orang yang mencuri? Tidakkah itu sangat kejam?" soal lelaki German itu dengan nada separuh provok dan ingin tahu.

Suasana menjadi diam seketika.

Tengahari itu kami berehat sebentar melepaskan lelah setelah travel beratus kilometer ke kuala lumpur. Sebelah petangnya ada lagi 2 program besar menanti dan perlu berada semula di Perak pada waktu Isya sebelum meneruskan ekspedisi dakwah ke bumi Kedah keesokan harinya.

Peluang berehat seketika itu memang sangat mustahak demi mengekalkan kesegaran untuk mengharungi jadual padat kami pada hari itu.

Di saat berehat itu, kami didatangi seorang lelaki Eropah, memperkenalkan dirinya sebagai Frank Michel. Rupanya beliau merupakan fisrt secretary kedutaan German di Malaysia. Beliau menghampiri kami kerana tertarik kepada lambang jemaah Islam yang tertera di jaket yang kami pakai.

Peluang keemasan ini kami gunakan sepenuhnya untuk menerangkan dasar Islam serta polisi jemaah dakwah kami ini. Ternyata beliau seolah-olah mendengarnya buat kali pertama.

Kami tidak hairan dengan keadaannya itu. Maklumat sebenar Islam telah lama disorokkan, hanya perkara berkaitan solat, puasa, haji dan zakat sahaja yang sering dikaitkan dengan Islam, sedangkan Islam itu adalah cara hidup dan lebih dari 5 rukun Islam itu sahaja.

Justeru, soalannya berkaitan dengan perkara selain 5 rukun Islam terutamanya berkaitan hukum hudud sudah boleh dijangka bentuk nada soalannya.

Setelah diam buat beberapa ketika, saya membalas soalannya dengan nada yang sangat lembut dan senyuman yang tidak lekang di bibir, " soalan anda itu sangat menarik!". Saya menunjukkan minat kepada soalan provokasinya itu.

"Dalam Islam, kita mengutamakan keadilan. Kepada siapa sahaja, samada seorang lelaki atau wanita, kanak kanak atau dewasa, sihat atau sakit, tanpa mengira kaum dan warna kulit" saya memulakan muqaddimah. Dia mendengar dengan penuh minat sambil mengangguk angguk kepala.

"begitu juga keadilan bagi orang telah kehilangam barangnya kerana dicuri. Haknya perlu dibela. Keadilan perlu ditegakkan" saya mula masuk ke topik perbincangan.

Tiba-tiba lelaki German itu mencelah, " Betul, saya setuju keadilan perlu ditegakkan. Tapi takkanlah sampai kena potong tangan? " soalnya lagi.

Saya tersenyum. Teringat perbincangan dalam kelas Syariah saya tempoh hari dalam madah Siasah Syariah. Suasana hampir serupa kerana kami telah mensimulasikan suasana dialog seperti ini dalam kelas. Lucu juga rasanya bila tiba tiba terbayang lelaki German di hadapan saya sekarang ini seperti kawan sekelas yang merupakan orang Banjar berasal dari Bagan Serai!

Saya mengawal semula eksperisi muka agar kelihatan tenang dan tidak menyinggung perasaan lelaki German itu.

"Tuan, salahkah doktor kalau dia mengarahkan pesakit Diabetis untuk dipotong kakinya? Jika tidak salah, mengapa? " soalan retorik dilontarkan.

Cepat-cepat lelaki German itu menjawab, "sudah tentulah tidak salah. Sebab doktor itu tahu apa yang terbaik untuk pesakitnya. Dia ahli dalam bidang perubatan"

Saya bertanya lagi, "eh, bukankah kaki itu sangat berharga dan penting untuk kegunaan seharian?"

"memanglah penting, tapi ia sudah berpenyakit, jika tidak dipotong, akan merebak dan membahayakan anggota lain pula. Silap silap membawa maut pula" petah lelaki German itu menjawab.

Saya sekali lagi tersenyum. Alhamdulillah, sudah nampak sinar di hujung dialog ini.

Segera saya menyambung bicara, " Jika demikian, begitulah dengan si pencuri tadi, dia adalah seorang manusia yang "berpenyakit." Dan ubat kepada sakit itu ada pada pembuat manusia itu, iaitu Allah. Dan Allah tentukan bahawa cara mengubatnya ialah dengan memotong tangan si pencuri. "

"Tapi kenapa perlu potong, tak bolehkah jika kita penjarakan sahaja. Tangan tu penting untuk kegunaan seharian." bentaknya.

Saya tenang mendengar respon spontannya.

"Tuan, jika dalam kes diabetis tadi, bukankah doktor itu tidak salah apabila memotong kaki peskitnya, begitulah dengan kes curi ini. Ia jika dibiarkan akan membarah, akan menggangu ketenteraman anggota masyarakat yang lain. Dan yang menariknya, bukan semua kes curi kita akan potong tangan. Barang curian yang terdedah kepada curian seperti ditinggalkan di tempat terbuka, harga barang curian yang murah seperti gula gula seringgit, keadaan masyarakat yang dhorurat seperti kebuluran yang melampau, semua ini tidak tergolong dalam kes potong tangan apabila mencuri." panjang lebar saya terangkan.

Lelaki german itu kelihatan terkejut dan kemudiannya nampak kelegaan di wajahnya. Kelihatan sangat puas dengan jawapan yang diberikan. Maklumat ini tidak pernah dia dengar dari media perdana. Senyuman terukir di wajahnya menghapus semua kerutan di dahi.

Saya menghabiskan sedutan terakhir air jus oren di depan saya dan bangum meminta diri ke Masjid kerana mahu menunaikan solat Jumaat.

Tiba- tiba dia bangun menghalang, " Ustaz, boleh tak saya ikut serta ustaz ke masjid? " tanya penuh mengharap sambil memegang lembut tangan saya.

"Kenapa ya anda mahu ikut kami ke Masjid?" saya meminta kepastian.

"Saya mula berminat dengan Islam. Saya mahu belajar mengenai Islam." jawabnya penuh semangat.

Saya tersentuh dengan jawapannya. Terharu sehingga terasa bergenang air mata ini.

Saya merangkul tangannya erat seraya berkata, " Let's go my brother," dengan senyuman puas di bibir.

Hakimi,
Penolong Setiausaha,
Lajnah Antarabangsa Dppp

P/s : secoret pengalaman lajnah antarabangsa dppp yang diketuai oleh Dr Raja Ahmad Al Hiss (Naib Ketua Dppp)


Saturday, 31 December 2011

Sambut Tahun Baru Tanpa Maksiat

1. Alhamdulillah, Syukur saya kepada Allah swt. apabila sambutan tahun baru kali ini tidak lagi didominasi oleh aktiviti maksiat dan mungkar seperti pesta mandi buih, larian tanpa pakaian, malam tanpa seluar dalam, pesta sepanas api neraka dan macam - macam lagi nama program karut yang menggerunkan insan beriman mendengarnya.

2. Wallahualam, jika saya terlepas pandang atau tidak mengetahui bahawa masih berleluasa pesta - pesta maksiat melampau sedemikian, namun sekurang - kurangnya tahun ini sambutan tahun baru telah dimeriahkan program alternatif yang tetap menawarkan keseronokan dan hiburan yang terbatas dan terkawal tanpa sebarang maksiat dan mungkar.

3. Kini masyarakat mempunyai pilihan. Khasnya anak - anak muda yang tidak lagi dikepong oleh aktiviti hedonisme sebaliknya dihadapan mereka terbentang pilihan alternatif yang mampu membebaskan mereka dari pengaruh maksiat dan mungkar.

4. Antara contoh program alternatif yang saya maksudkan, untuk sekitar Lembah Kelang sahaja ada 6 program yang cukup menarik dan meriah.

a]  Konsert Hibur Didik (di Dataran Greenwood, depan Shell, Gombak)
Majlis ini bermula malam ini [31 Disember]
Menariknya program ini turut disertai EXCO DPP  Malaysia membuat persembahan bersama bekas kumpulan - kumpulan rock yang mula mendekati dakwah Islam.

(https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10150434675321123&set=a.139739791122.124204.670736122&type=1&ref=nf)

b] XPDC Dakwah oleh GAMIS, (di Masjid Jamek Bandaraya KL)
- Mula pagi 31 Disember hingga pagi 1 Jan 2012.
- best sebab ada bedah buku dan boleh belajar tentang dakwah secara praktikal di Dataran Merdeka.

(https://www.facebook.com/events/236589383076588/)

b]  Himpunan 1000 Jiwa 1 Hati (Masjid Negara / Dewan Jawi)
- Mula tengahari 31 Disember hingga tengahari 1 Jan 2012.
- Best sebab ada Shoutul Harakah dan larian 1000 pemuda.

(https://www.facebook.com/events/208410885904653/)

c]  Soal Jawab Agama USTAZ AZHAR IDRUS (Dataran Kemerdekaan Shah Alam)
- Mula malam ini [31 Disember]
- Best sebab ada Ust Azhar Idrus berganding dengan Zizan Raja Lawak.

(https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10150423649556612&set=a.466868491611.253845.247020686611&type=1&ref=nf)

d]  Malam Apresiasi Ikim.Fm, (di Masjid Wilayah Persekutuan KL)
- Mula pagi 31 Disember hingga pagi 1 Jan 2012.
- Best sebab ada Prof Muhaya dan ramai artis nasyid yg hadir.

(http://www.ikimfm.my/ikimfm/index.php?option=com_content&view=article&id=171%3Amalam-apresiasi-ikimfm-2011&catid=61%3Aberita-terkini)

e] Program Indahnya Islam, (di Masjid As-Syakirin KLCC)
- Mula pagi 31 Disember hingga pagi 1 Jan 2012.
- Best sebab ada byk bedah buku menarik terutama buku Abdul Latip dan forum oleh Fatimah Syarha.

(https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2683729527154&set=a.1223249936077.2034960.1073841570&type=1&theater)

5. Dewan Pemuda PAS Negeri - negeri bahkan DPP Kawasan juga turut menganjurkan pelbagai aktiviti menarik untuk sambutan tahun baru. Sebagai contoh DPP Kawasan Indera Mahkota akan menganjurkan XPDC ke Cherating atau ke kawasan yang dikenali "Kampung Yahudi". Begitu juga DPP Kawasan Pandan turut menganjurkan mini konsert. Pastinya Motto kita ialah " HIBURAN TANPA MAKSIAT"

6. Akhirnya saya ucapkan tahniah kepada ngo - ngo Islam yang kian aktif dan berani menganjurkan program alternatif kepada masyarakat kita khasnya muda - mudi agar mereka tidak hanyut dan terjebak dalam kancah maksiat dan mungkar yang mengundang kemurkaan Allah swt. khasnya sempena sambutan tahun baru . Mudah - mudahan perkara ini akan terus berkembang dan menjadi fenomena di saban tahun.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

* Siapa2 ada info lain, mungkin boleh berkongsi. Tahun ini antara tahun baru yg sgt byk program berilmu buat kita semua. Kita halang program melalaikan, kita ganti dengan hiburan mendidik jiwa.  Mereka yang ada berdekatan, jangan lepaskan peluang. Memang semua sangat - sangat best!

Sent from my iPad

Tuesday, 27 December 2011

2012: Fajar untuk Negara Berkebajikan, insyaAllah

http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/analysis-a-opinion/7256-2012-fajar-untuk-negara-berkebajikan

http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/2012-fajar-untuk-negara-berkebajikan-mohd-syahir-sulaiman/

Syahir

2012: Fajar untuk Negara Berkebajikan
   

"Yang benar tidak terikat dengan waktu" – Hamka

Tanpa sedar, masa begitu pantas berlalu. Segala hiruk-pikuk 2011 yang ditinggalkan kekal menjadi batas tauladan baik dan buruk dalam kelangsungan rentak hidup yang kian pantas.

Ketidaktentuan 2011

Tirai 2011 yang bakal berlabuh menyaksikan iklim ekonomi global ibarat turun dan naik permainan 'roller coaster' yang mengerikan.  Ketidaktentuan (volatility) yang dipandu elemen ketakutan (fear) dan tamak (greed) menjerumuskan kuasa besar Amerika dan Eropah ke lembah kemelesetan dan kemelut hutang yang kian menjerut.

Iklim politik global pula tidak kurang mendebarkan, khususnya di Timur Tengah yang menyaksikan kebangkitan rakyat dan generasi muda berjaya menjatuhkan rejim kuku besi yang mengongkong kebebasan dan hak rakyat, di samping kebangkitan golongan buruh di Amerika dan Eropah yang tertindas dek kezaliman kapitalis dan sistem ekonomi yang tidak seimbang.

Lanskap ekonomi dan politik di Malaysia juga dilatari warna-warni yang rencam. Ekonomi 2011 dicatat berkembang pada tahap sederhana dan turut menyaksikan turun dan naik 'roller coaster' indeks KLCI yang mendebarkan bermula di paras 1,582 mata pada 2 Januari, mencecah paras tertinggi di 1,594 mata pada 8 Julai dan menjunam ke paras terendah di 1,331 mata pada 26 September.

Ringgit yang bermula kukuh apabila buat pertama kali mencecah paras 3.00 berbanding USD sejak diapungkan mula hilang rentak di penghujung tahun dan kembali menyusut ke paras 3.19 pada 15 Disember.

Harapan dan debaran 2012

Tirai 2012 yang bakal menyinsing menjanjikan 1001 harapan dan debaran untuk Malaysia. Kedudukan ekonomi domestik dijangka tidak seindah khabar.

Dayatahan ekonomi negara yang kadar hutangnya tinggi dilihat goyah dalam menempuh tempias kemelut hutang di Eropah dan kemelesetan permintaan di Amerika.

Pertumbuhan ekonomi 2012 diunjur pada kadar 4% - 5% manakala indeks inflasi dijangka meningkat pada kadar 4% menatijahkan kenaikan berterusan harga barang yang mencengkam
survival kehidupan rakyat pertengahan dan bawahan, baik di kota mahupun di luar bandar.

Kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur merupakan realiti yang tidak dapat dinafikan. Pendapatan isi rumah RM3,000 sekadar mencukupi untuk kehidupan asasi (basic living), kadar RM6,000 memberi sedikit keselesaan (decent living), manakala pendapatan lebih RM10,000 mampu memberi kemewahan (comfort living).  Namun, 40% isi rumah di Malaysia berpendapatan bawah RM2,500 sebagaimana dilapor oleh UNDP's Millennium Development Goals 2010 Report of Malaysia.

Debaran pastinya tertumpu pada tarikh PRU13 yang bakal diumum oleh PM Najib Tun Razak. Tidak sukar meramalkan PRU13 bakal menempa status pilihanraya paling sengit dalam sejarah politik negara ini selepas Tsunami 2008 yang menafikan 2/3 majoriti BN di parlimen.

Pengundi muda pemangkin kebangkitan

Robert Frost (1874-1963) ada mengungkapkan saranan untuk menempa perubahan di dalam syairnya yang popular, The Road Not Taken, "Dua denai yang tersimpang, dan aku.. aku memilih denai yang jarang ditempuhi, dan ia telah mengubah segalanya".

Tahun 2012 bakal menjadi medan penentu kepada golongan muda melakar peta masa hadapan baru di Malaysia.

Melihat kepada peningkatan pengundi baru dan pengundi muda yang dianggarkan sekitar 50%
daripada jumlah pengundi berdaftar kali ini, keputusan penentu PRU13 jelas terletak di tangan 2 daripada 2 pengundi muda di saluran 3 dan 4 peti undi yang pastinya teruja untuk memilih pemimpin yang mampu membawa sinar baru di Malaysia.

Generasi muda dan golongan mahasiswa negara dilihat kian berani menzahirkan suara dan pendapat dek tempias percikan peluh teman-teman di Timur Tengah yang bangkit memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat.

Akses kepada internet dan laman sosial serta kepantasan jaringan maklumat di Facebook, Youtube, Twitter, Blackberry dan Whatsapp berjaya memecah tembok pemikiran dan membudayakan suasana percambahan idea secara terbuka.

Persoalannya, apakah bentuk kehidupan berkebajikan yang diimpikan generasi muda sekarang? Apakah gaya hidup anak muda yang suka berhibur dan berhubung akan terencat apabila bertukar sang penguasa di tampuk pemerintahan? Apakah aspirasi generasi pasca-merdeka dan gen-Y? Perlu diyakini, dasar dan program pembangunan berkebajikan pastinya menguntungkan generasi muda negara serta selari dengan aspirasi dan jiwa anak muda.

Negara berkebajikan secara prinsipnya merupakan sebuah kerajaan beramanah yang berpaksikan prinsip adil dan ehsan di dalam seluruh sistem pemerintahan yang membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berlumba-lumba melakukan kebaikan dan bekerjasama ke arah kejayaan.

Penumpuan akan diberi kepada agenda pembangunan seimbang di antara aspek fizikal dan spiritual di kalangan generasi muda.  Tawaran dalam bentuk pendidikan berkualiti (bantuan pendidikan, mansuh PTPTN, mansuh AUKU, pengupayaan autonomi universiti, kebebasan mahasiswa), ekonomi saksama (pengukuhan perbankan islam, skim pembiayaan perniagaan, pemansuhan monopoli, penstrukturan subsidi, pemerkasaan FELDA), perkhidmatan kesihatan yang cekap (akses menyeluruh, kos minima), pembinaan institusi keluarga (rumah mampu milik, elaun khas suri rumah, hiburan mendidik), pengupayaan sektor pekerja (pembelajaran sepanjang hayat, elaun sara hidup) dan peningkatan kualiti pengangkutan awam bakal menatijahkan kehidupan yang lebih sejahtera.

Dana-dana pembangunan belia yang bernilai ratusan juta setiap tahun akan diurus secara saksama dan diagih mengikut merit tanpa mengira jalur politik atau kaum. Nyanyian dan konsert tiada salahnya jika tidak membinasakan diri dan keluarga. Gaya hidup anak muda yang secara fitrahnya suka berhibur dan berhubung akan disuburkan dengan nilai-nilai pembinaan jatidiri demi kebaikan masyarakat seluruhnya.

Memetik ungkapan Pak Hamka, "Adil ialah menimbang yang sama berat, menyalahkan yang salah dan membenarkan yang benar, mengembalikan hak yang empunya dan tidak berlaku zalim di atasnya".

Islam itu sifatnya adil dan sempurna, amanah adalah kuncinya.

"Dan (ada lagi) kurnia yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang hampir waktunya. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman." (As-Saff: 13)

2012, fajar untuk Negara Berkebajikan, insyaAllah.

--------------------------------------------
Mohd Syahir Sulaiman adalah Pengarah Institut Polisi Studi, Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau gemar melihat benih yang ditanam bertunas dan mekar.

Video Oley- Perjelas Hukum Hudud

Jangan Perkecilkan Mahasiswa


1. Mahasiswa adalah " Agent of Change" dan ilmu yang mereka miliki meletakkan mereka sebagai intelek muda dan ia merupakan aset untuk mereka berani, yakin dan bertanggungjawab dengan tindakan yang mereka ambil. Mereka bukan lagi budak hingusan yang boleh ditempelak, dipulas telinga dan ditampar, apa lagi untuk diludah.

2. Mereka mampu bangkit membentuk gelombang "Third Force" yang berkesan ke arah membangkitkan ummah dari lena yang panjang lantas mencetus perubahan dan meletakkan negara selamat serta bebas dari anasir yang meruntuhkan peradaban seperti rasuah, pecah amanah, ketidaktelusan dan sebagainya.

3. Kerajaan sekali - kali tidak wajar mengkesampingkan tuntutan mereka apatah lagi memperkecilkan mereka. Saya lihat inilah masanya, mahasiswa menyusun kebangkitan lalu memposisikan diri mereka selayaknya, sesuai dengan ilmu dan semangat yang mereka miliki. Usah gentar berkelana di alam buana ini, menggalas cita - cita perjuangan. Tidak sekadar berjuang untuk membebaskan mahasiswa tetapi juga menggerak kesedaran serta kebangkitan rakyat.

4. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan syabas kepada "thaurah" yang mula menampakkan rentak kebangkitan mahasiswa. Kini mereka mula melepaskan diri dari pasung puaka yang membelenggu leher mereka sejak sekian lama. Kami pastinya bangga dengan perkembangan ini.

5. Menuntut ilmu biarlah seiring dengan semangat perjuangan. Jangan abaikan salah satu dari keduanya. Ilmu adalah senjata berkesan bagi perjuangan yang kita dokong. Ada senjata tetapi tidak menghunusnya untuk perjuangan suci ini hanya memperlihatkan kita lemah. Demikian juga berjuang tanpa senjata [ilmu] membuatkan kita salah memilih hala tuju yang benar.

Saya ucapkan selamat berjuang, sabar dan tabah mendepani ujian buat seluruh Mahasiswa yang berani dan benar.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia